Rasulullah SAW bersabda, "Kamu semua harus berpegang teguh kepada sunnahku (setelah Al Qur'an) dan sunnah khulafa' rasyidin yang mendapat petunjuk Allah sesudahku. Berpeganglah dengan sunnah itu dan peganglah ia kuat-kuat, serta jauhilah perkara yang diada-adakan (dalam agama), kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bid'ah, dan setiap bid'ah itu sesat." (HR. Abu Dawud dan Tirmidzi).

Saturday, December 10, 2011

JIWA TENANG DAN GELISAH KETIKA DI PADANG MAHSYAR


SEMUA anggota akan menjadi saksi di atas segala perbuatan di padang Mahsyar kelak. Firman Allah: "Pada hari itu (kiamat) akan bersaksilah ke atas kamu oleh segala lidahmu, tanganmu dan kakimu dengan segala sesuatu yang telah kamu lakukan di dunia dahulu." (Surah An-Nur ayat 24).

Oleh itu, kita mesti menjauhi segala kejahatan yang ditimbulkan anggota badan. Ada ulama yang mengatakan Allah menciptakan tujuh neraka itu sebagai tempat menyeksa anggota yang melakukan dosa.

Maka mata hendaklah digunakan melihat perkara yang baik dan indah, bukan yang haram, yang lucah dan cabul. Telinga mendengar yang baik-baik, bukannya mendengar perkara yang mengandungi maksiat dan haram seperti umpatan dan fitnah.

Perut pula mesti diisi dengan yang halal. Yang buat kita tidak tenang ialah sebab hati kita kotor, bukan saja dengan dosa tapi juga akhlak tercela.

Luqman Al-Hakim menasihati anaknya: "Wahai anakku, apabila perut dipenuhi makanan, maka gelaplah fikiran, bisulah lidah dari menuturkan hikmah (kebijaksanaan) dan malaslah segala anggota badan untuk beribadah." Sahabat Nabi, Abdullah Mas'ud berkata: "Empat perkara yang menggelapkan hati atau melembapkan otak: perut yang terlalu kenyang, berkawan dengan orang yang suka membuat maksiat, tidak insaf terhadap dosa yang lalu dan panjang angan-angan."

Sifat tercela yang membuat kita risau dan sasau adalah hasad dengki iaitu tidak senang melihat orang senang, takbur, ego serta sombong.

Itulah stress pertama dialami syaitan ketika kejadian Adam kerana bimbang Adam akan menandinginya. Begitu juga ujub dan riak, berasa dialah yang sempurna sedangkan orang lain rendah, dengan mengharapkan pujian dan sanjungan, apa lagi bakhil dan kedekut, tidak akan pernah tenang, hatinya akan terikat dengan harta, cinta harta tak salah tapi kedekut itu buat orang gundah.

Apa lagi cintakan kepada kemasyhuran dan 'glamor', langsung tiada perasaan rendah diri pasti hati akan gelisah. Sifat pemarah juga menjadikan orang menjadi pendendam, hanya rasa takut kepada Allah saja boleh menghilangkan rasa marah itu.

Berdusta dan menipu membuat hati dibayangi penyesalan dan tidak tenteram. Dalam kehidupan ini, pasti kita bertemu dengan dua jenis manusia iaitu manusia yang jiwanya tenang dan manusia yang jiwanya gelisah.

Alangkah baiknya jika kita memiliki jiwa yang penuh dengan ketenangan dan ketenteraman. Sebaliknya, pasti rasa gelisah jika seseorang itu jiwanya mengalami kegoncangan dan kegawatan.

Apabila berdepan dengan situasi berkenaan, diri pasti menjadi bingung menyebabkan jiwa dalam kegelisahan dan rasa tidak menentu, terasa bagai tiada tempat mengadu, terkapai-kapai sendirian dan berputus asa.

Saat demikian kita tentu amat memerlukan sesuatu yang dapat membersihkan jiwa dan fikiran daripada kegelisahan. Sekiranya penyakit kencing manis kerana masalah gula berlebihan, kolesterol tinggi kerana banyak lemak, stress pula disebabkan tekanan, maka jiwa yang tidak tenteram pun ada sebabnya.

Sebab utamanya adalah dosa. Dosa adalah racun. Ia meracuni hati dan perasaan, berbanding racun biasa yang memudaratkan anggota badan.

Cara terbaik menyesali dosa silam adalah bermuhasabah. Jika hidup tanpa muhasabah, kita sukar mengetahui mana satu perbuatan harus dikurangkan dan mana satu perbuatan mesti ditinggalkan terus.

Akibatnya, hancurlah nilai kemanusiaan. Pendek kata, muhasabah sangat penting kepada kehidupan Muslim kerana orang yang bermuhasabah termasuk dalam kumpulan mereka yang ingin kembali kepada Allah.

Saidina Umar r.a pernah berkata: "Muhasabah dan hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung di hadapan Allah." Mereka yang berani bermuhasabah dan kemudian melakukan perubahan sebenarnya orang yang berjaya.

Allah berfirman maksudnya: "Golongan yang bertakwa adalah golongan yang apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, mereka ingat kepada Allah dan memohon ampun di atas dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Allah. Mereka tidak meneruskan perbuatan keji sedang mereka mengetahui." (Surah Ali-Imran ayat 135).

Antara soalan muhasabah diri ialah sudahkah kita menunaikan segala suruhan Allah? Jika dengan ibu bapa, kita takut dimarahi.

Bagaimana pula dengan Allah? Selepas Rasulullah wafat, Saidina Abu Bakar bertanya kepada anaknya, Aisyah r.a, isteri Rasulullah s.a.w. "Apakah lagi ada perbuatan yang nabi buat sedang ayah tidak melakukannya?"

Lihatlah betapa prihatinnya beliau terhadap amalan sehingga jika boleh, beliau hendak ikut semua amalan yang pernah nabi lakukan.

Selain itu, sudahkah kita menambahkan ilmu pengetahuan mengenai Allah, rasul, malaikat, segala Rukun Iman dan Rukun Islam? Sepatutnya berilah sedikit waktu bagi menambahkan ilmu agama.

Adakah kita membaca al-Quran pada setiap hari? Al-Quran ialah penawar, ubat yang mujarab kepada seluruh alam. Menerusi al-Quran, manusia mempunyai panduan, petunjuk, malah menjadi teman di kala kesunyian di alam kubur.

Setiap hari kita boleh membaca akhbar, maka membaca al-Quran sepatutnya lebih diutamakan.

Kemudian adakah kita sering kali sibukkan masa dengan mencari kesalahan orang lain dan melupakan kesalahan yang dilakukan diri sendiri?

Firman Allah bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Jauhilah daripada bersangka buruk terhadap sesama Muslim. Sesungguhnya ia adalah satu dosa."


Sumber : www.al-bakriah.com.my-Ditulis oleh Zawawi Yusoh

No comments:

Post a Comment