Rasulullah SAW bersabda, "Kamu semua harus berpegang teguh kepada sunnahku (setelah Al Qur'an) dan sunnah khulafa' rasyidin yang mendapat petunjuk Allah sesudahku. Berpeganglah dengan sunnah itu dan peganglah ia kuat-kuat, serta jauhilah perkara yang diada-adakan (dalam agama), kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bid'ah, dan setiap bid'ah itu sesat." (HR. Abu Dawud dan Tirmidzi).

Wednesday, September 21, 2011

ANDAINYA ADA KEMAAFAN BUAT DIRIKU


Dua bilah kayu disatukan dengan paku. Dua ketul bata disatukan dengan simen. Dua hati di satukan dengan apa? Jawabnya, dengan iman. Dua hati yang beriman akan mudah disatukan. Jika dua hati mengingati yang SATU, pasti mudah keduanya bersatu. Begitulah dua hati suami dan isteri, akan mudah bersatu bila iman di dalam diri masing-masing sentiasa disuburkan.

Bukan tidak pernah terguris. Bukan tidak pernah bertelagah. Tetapi jika di hati sama-sama masih ada ALLAH, perdamaian akan mudah menjelma semula. Yang bersalah mudah meminta maaf. Yang benar mudah memberi maaf. Tidak ada dendam memanjang. Masam cuma sebentar. Pahit hanya sedikit. Itulah yang ditunjuk oleh teladan rumah tangga Rasulullah s.a.w. Ada ribut… tetapi sekadar di dalam cawan. Ada gelombang… tetapi cepat-cepat menjadi tenang.

Jika ditanyakan kepada dua hati yang bercinta, siapakah yang lebih cinta pasangannya? Maka jawabnya, siapa yang lebih cintakan Allah, dialah yang lebih cintakan pasangannya. Justeru, janganlah hendaknya hanya berfikir bagaimana hendak mengekalkan cinta antara kita berdua, tetapi berusahalah terlebih dahulu agar mencintai kepada yang Esa. Jika kita bersama cintakan yang Maha Kekal, pasti cinta kita akan berkekalan.

Jika paku boleh berkarat, simen boleh retak, maka begitulah iman, boleh menaik dan menurun. Iman itu ada “virusnya”. Virus iman ialah ego (takbur). Jangan ada takbur, cinta pasti hancur. Orang takbur merasa dirinya lebih mulia, pasangannya lebih hina. Jika demikian, manakah ada cinta? Cinta itu ibarat dua tangan yang saling bersentuhan. Tidak ada tangan yang lebih bersih. Dengan bersentuhan, keduanya saling membersihkan. Tetapi ‘tangan’ yang ego, tidak mahu bersentuhan… Konon takut dikotorkan oleh tangan yang lain!

Bila berbeza pandangan, pandangannya sahaja yang benar. Kau isteri, aku suami. Aku ketua, kau pengikut. Aku putuskan, kau ikut saja. Jangan cuba menentang. Menentang ertinya dayus. Maka terkapa-kapalah sang isteri tanpa boleh bersuara lagi. Sedikit cakap, sudah dibentak. Senyap-senyap, isteri menyimpan dendam. Suami ‘disabotaj’nya dalam diam. Tegur suami, dijawabnya acuh tak acuh. Senyumnya jadi tawar dan hambar. Perlahan-lahan, jarak hati semakin jauh. Cinta semakin rapuh.

Ada pula isteri yang ego. Heroin sudah mengaku hero. Suami dicaturnya satu-satu. Tidak jarang meninggikan suara. Silap suami yang sedikit didera dengan rajuknya yang panjang. Anak-anak dibiarkan. Dapur berselerak. Pinggan mangkuk tidak dibasuh. Kain baju sengaja disepah-sepahkan. Rasakan akibat menentang aku. Mengaku salah tidak sekali. Minta maaf? Pantang sekali!

Ego sisuami selalunya terserlah. Boleh dilihat daripada jegilan mata dan suara yang meninggi. Mungkin pintu dihempaskan dengan kuat atau hon kereta ditekan bertalu-talu. Atau boleh jadi diherdik siisteri di hadapan anak-anak atau isteri diperleceh di hadapan saudara mara atau tetamu yang datang. Bila ramai yang datang bertandang itulah masa sisuami yang ego ini menunjukkan kuasa dan belangnya.

Ego siisteri terpendam. Mungkin kerana tidak ada dominasi kuasa atau keberanian, siisteri menunjukkan egonya dengan bermacam-macam-macam ragam. Daripada sengaja melaga-lagakan pinggan yang dibasuh… sehinggalah memalingkan badan dan muka ketika di tempat tidur.

Alhasil, cuaca rumah tangga menjadi muram. Rumah hanya jadi ‘house’ tidak jadi ‘home’ lagi. Tidak ada keceriaan, kehidupan dan kemanisannya lagi. Semuanya bungkam. Ya, rumah (house) dibina dengan batu, kayu dan konkrit, manakala rumah tangga (home) dibina dengan kasih sayang, cinta dan sikap saling menghormati. Tidak ada rindu yang menanti suami ketika pulang dari bekerja. Tidak ada kasih yang hendak dicurahkan oleh suami kepada isteri yang menanti di rumah. Anak-anak jadi kehairanan? Apa sudah jadi pada kedua ibu-bapa ku?

Bila ada ego di hati, cinta akan menjauh pergi. Retak akan menjadi belah. Kekadang hati keduanya merintih, mengapa jadi begini? Bukankah antara aku dan dia ada cinta? Mengapa terasa semakin jarak? Apakah yang perlu aku dan dia lakukan untuk menyemarakkan semula rasa cinta. Lalu akal berfikir, berputar-putar mencari idea. Oh, mari ulangi musim bulan madu yang lalu. Kita susuri pulau, tasik, laut atau lokasi pertemuan kita nan dulu.

Malang, cuma sebentar. Gurau, senda cuma seketika. Tidak mampu lagi memutar jarum kenangan lama dengan hati yang telah berbeza. Tidak ada lagi tarikan fizikal yang ketara. Cumbu berbaur ghairah seakan telah terlupa. Bulan madu yang cuba diperbaharui tidak menjadi… kedua hati bercakar lagi. Mereka cuba memperbaharui lokasi, tanpa memperbaharui hati. Selagi ada ego, ke mana pun tidak akan menjadi. Jika ada ego, yang wangi jadi busuk, yang manis jadi tawar, yang indah jadi hambar.

Ada juga pasangan yang hendak ‘membeli’ cinta. Ingin dibangkitkan kembali rasa cinta dengan mata benda. Nah, ini kalung emas ribuan ringgit sebagai tanda cinta ku masih pada mu, kata suami. Dan ini pula cincin berlian untuk memperbaharui kemesraan kita, balas siisteri. Masing-masing bertukar hadiah. Semoga dengan barang-barang berharga itu akan kembalilah cinta. Namun sayang sekali, sinar emas, cahaya berlian, tidak juga menggamit datangnya cinta. Cinta diundang oleh nur yang ada di hati. Nur itu tidak akan ada selagi ego masih ada di jiwa.

Susurilah cinta yang hilang di jalan iman. Buanglah kerikil ego yang menghalang. Ego hanya membina tembok pemisah di antara dua hati walaupun fizikal masih hidup sebumbung. Mungkin di khalayak ramai, masih tersenyum dan mampu ‘menyamar’ sebagai pasangan yang ideal tetapi hati masing-masing TST (tahu sama tahu) yang kemesraan sudah tiada lagi.

Pasangan yang begitu, boleh menipu orang lain. Namun, mampukah mereka menipu diri sendiri? Yang retak akhirnya terbelah. Penceraian berlaku. Mereka berpisah. Masyarakat yang melihat dari jauh pelik, mengapa begitu mesra tiba-tiba berpisah? Tidak ada kilat, tidak ada guruh, tiba-tiba ribut melanda. Oh, mereka tertipu. Perpaduan yang mereka lihat selama ini hanyalah lakonan. Allah membongkar rahsia ini menerusi firman-Nya:
“Kamu lihat sahaja mereka bersatu tetapi hati mereka berpecah.”

Carilah di mana Allah di dalam rumah tangga mu. Apakah Allah masih dibesarkan dalam solat yang kau dirikan bersama ahli keluarga mu? Apakah sudah lama rumah mu menjadi pusara akibat kegersangan zikir dan bacaan Al Quran? Apakah sudah luput majlis tazkirah dan tarbiah yang menjadi tonggak dalam rumah tangga? Di mana pesan-pesan iman dan wasiat taqwa yang menjadi penawar ujian kebosanan, kejemuan dan keletihan menongkah arus ujian?
Penyakit ego menimpa apabila hati sudah tidak terasa lagi kebesaran Allah. Orang yang ego hanya melihat kebesaran dirinya lalu memandang hina pasangannya. Hati yang ego itu mesti dibasuh kembali dengan rasa bertauhid menerusi ibadah-ibadah khusus – solat, membaca Al Quran, berzikir, bersedekah – dan paling penting majlis ilmu jangan diabaikan.

Firman Allah:

“Dan berilah peringatan. Sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang mukmin.”

Sedangkan orang mukmin pun perlu diperingatkan, apatah lagi kita yang belum mukmin? Iman itu seperti mana yang dimaksudkan hadis, boleh menambah dan mengurang. Untuk memastikan ia sentiasa bertahan malah bertambah, hati perlu berterusan bermujahadah. Lawan hawa nafsu yang mengajak kepada ketakburan dengan mengingatkan bahawa Allah benci kepada orang yang takbur walaupun sasaran takbur itu suami atau isteri sendiri.

Bila terasa bersalah, jangan malu mengaku salah. Segeranya mengakuinya dan hulurkan kata meminta maaf. Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Begitulah suami yang meminta maaf kepada isterinya. Dia tidak akan hilang kewibawaannya bahkan bertambah tinggi. Bukankah orang yang merendahkan diri akan ditinggikan Allah derjat dan martabatnya? Justeru, lunturkan ego diri dengan membiasakan diri meminta maaf. Tidak kira ketika kita rasa kita benar, lebih-lebih lagi apabila terasa kita yang bersalah.

Namun, lelaki yang tewas ialah lelaki yang sukar mengaku salah. Dia sentiasa tidak ingin mengalah. Pada ketika itu dia telah memiliki salah satu dari tiga ciri takbur yakni menolak kebenaran. Akuilah kebenaran walaupun kebenaran itu berada di pihak isteri. Tunduk kepada kebenaran ertinya tunduk kepada Allah. Jangan bimbang takut-takut dikatakan orang takutkan isteri. Kita takutkan Allah. Allah benci orang yang takbur.

Begitu juga isteri. Jika sudah terbukti salah, akui sahajalah. Dalam pertelagahan antara suami dan isteri, apakah penting siapa yang menang, siapa yang kalah? Kita berada di dalam gelanggang rumah tangga bukan berada di ruang mahkamah. Kesalahan suami adalah kesalahan kita juga dan begitulah sebaliknya. Rumah tangga wadah untuk berkongsi segala. Perkahwinan satu perkongsian, bukan satu persaingan. Kalau kita menang pun apa gunanya? Padahal, kita akan terus hidup bersama, tidur sebantal, berteduh di bawah bumbung yang sama.

Mujahadahlah sekuat-kuatnya menentang ego. Bisikan selalu di hati, Allah cintakan orang yang merendah diri. Allah benci orang yang tinggi diri. Pandanglah pasangan kita sebagai sahabat yang paling rapat. Kita dan dia hakikatnya satu. Ya, hati kita masih dua, tetapi dengan iman ia menjadi satu. Bukan satu dari segi bilangannya, tetapi satu dari segi rasa. Sebab itu sering diungkapkan, antara makhluk dengan makhluk mesti ada Khalik yang menyatukan. Ingat, hanya dengan iman, takbur akan luntur, cinta akan subur!
 
MAAFKANKU WAHAI SUAMI

Kadang Isteri yang terlalu banyak menerima
Sedangkan engkau tak pernah meminta

Kadang-kadang aku rasa
Akulah isteri yang baru terjaga
Sedangkan engkau tak pernah terlena

Kadang-kadang ku bersuara tanpa berfikir
semua perkataan ku menjadi salah
Datanglah ke sini dan pegang tangan ku
Sementara ku cerita kehidupan isteri
Harap dimengerti

Kadang-kadang ku sakiti hati mu
Bila ku tolak sentuhan mu
Bukan bermaksud aku kurang menyayangi mu…
Namun cabaran terlalu

Kadang-kadang aku berubah pada pandangan mu
Tapi sayang, itu tidak benar
Tiada apa yang paling ku hargai
Daripada kehidupan manis bersama mu

Kadang-kadang ku fikir sejuta tahun
Adalah terlalu singkat
Hanya ku beritahu mu betapa sayangnya aku
Betapa syukurnya aku…
kau pelindung ku

Kadang-kadang berjauhan dengan mu
Akulah isteri yang terlalu tinggi bercita-cita…
Mencipta kerukunan keluarga
Namun aku tetap aku yang ini…
Maafkan aku wahai suami

Monday, September 19, 2011

Solat Sunat Hajat

Sesungguhnya banyak cara atau kafiat bagaimana mengerjakan solat hajat. Yang lazimnya ialah mengerjakan sehingga 12 rakaat, dibuat sebaiknya pada 3/4 malam. 


Ayat pertama selepas fatihah dibacai Ayat Kursi 11 kali dan ayat pada rakaat kedua surah al-iklhas sebanyak 11 kali juga. Namun boleh dibuat juga hanya dengan 2 rakaat sahaja. Disertakan satu cara yang sangat mudah untuk di amalkan. 



1. Dimulakan dengan niat : Sahaja aku sembahyang sunat hajat 2 rakaat (imam/makmum/adaan) Kerana Allah Taala. (Tidak perlu membayangkan hajat apa yang dikehendaki)


2. Baca pada rakaat pertama selepas Al-Fatihah : Surah Al-Kafirun (Bilangan yang ganjil 7,5, 3 atau sekali)


3. Baca pada rakaat kedua selepas Al-Fatihah : Surah Al-ikhlas (Bilangan yang ganjil sama dengan jumlah pada rakaat pertama)


3. Sembahyang selesai selepas memberi salam.


4. Sujud sekali lagi selepas salam (Ini bukan di dalam perbuatan sembahyang lagi) 


 i)baca Istiqfar, 


ii)Selawat atas nabi,

iii)Bertahmid (Subahanallah, Walhamdulillah, Wallailla haillallah,  
    Wallahuakbar, 


iv)Doa Allahummarobbana a tina fiddunia.....seterusnya. 


Semuanya dibaca 3 kali..


Kemudian baru kita memohon hajat yang diminta, boleh dibacai dengan bahasa yang kita fahami, baik melayu, iban, melanau dsb. kerana Allah amat mengetahui. Sesudah selesai memohon hajat, bangun dari sujud. Maka selesailah sembahyang hajat dan doanya. Wallahualam.


Sekian selamat beramal.

Wallahualam.

Doakan Kejayaan Anak-anak Kita


Semasa anak sedang menghadapi peperiksaan bolehlah kita melakukan perkara-perkara seperti di bawah. 

Semuanya dengan niat supaya anak kita boleh dan dapat menjawab  semua soalan dengan lancar dan baik, tidak gugup dan tidak gementar. 

  1. Ambil wudhu’
  2. Duduklah menghadap kiblat dan bacalah...
  3. Syahadah 3x
  4. Surah Al-Fatihah 1x
  5. 3 Qul
  6. Surah Al –Insyirah 1x
  7. Salawat ke atas Nabi 11x
  8. Selepas itu bacalah Surah Yasin 1x diikuti oleh Surah Al-Insyirah 100x
Surah Insyirah serta maksudnya:


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم:  
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
  1. أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?,
  2. وَوَضَعْنَا عَنْكَ وِزْرَكَ Dan Kami telah menghilangkan dari padamu bebanmu,
  3. الَّذِي أَنْقَضَ ظَهْرَكَ yang memberatkan punggungmu?
  4. وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (nama)mu.
  5. فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا Kerana sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan,
  6. إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan.
  7. فَإِذَا فَرَغْتَ فَانْصَبْ Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain,
  8. وَإِلَى رَبِّكَ فَارْغَبْ dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.

Amalkan sama ada di rumah, di tempat kerja atau di mana-mana sahaja.

Semoga anak-anak kita akan memperoleh kejayaan yang cemerlang, Insya Allah.

Sunday, September 4, 2011

KEUTAMAAN PUASA ENAM HARI DI BULAN SYAWAL

Abu Ayyub Al-Anshari radhiallahu 'anhu meriwayatkan, Nabi s.a.w bersabda :
"Barangsiapa berpuasa penuh di bulan Ramadhan lalu menyambungnya dengan (puasa) enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seperti ia berpuasa selama satu tahun . (HR. Muslim).
Imam Ahmad dan An-Nasa'i, meriwayatkan dari Tsauban, Nabi sollallahu 'alaihi wasalllam bersabda:
"Puasa Ramadhan (ganjarannya) sebanding dengan (puasa) sepuluh bulan, sedangkan puasa enam hari (di bulan Syawal, pahalanya) sebanding dengan (puasa) dua bulan, maka itulah bagaikan berpuasa selama setahun penuh." ( Hadits riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dalam "Shahih" mereka.)
Dari Abu Hurairah radhiallahu 'anhu, Nabi sollallahu 'alaihi wasallam bersabda:
"Barangsiapa berpuasa Ramadham lantas disambung dengan enam hari di bulan Syawal, maka ia bagaikan telah berpuasa selama setahun. " (HR. Al-Bazzar) (Al Mundziri berkata: "Salah satu sanad yang befiau miliki adalah shahih.")
Pahala puasa Ramadhan yang dilanjutkan dengan puasa enam hari di bulan Syawal menyamai pahala puasa satu tahun penuh, kerana setiap hasanah (kebaikan) diganjar sepuluh kali lipatnya, sebagaimana telah disinggung dalam hadits Tsauban di muka.
Membiasakan puasa setelah Ramadhan memiliki banyak manfaat, di antaranya :
1. Puasa enam hari di bulan Syawal setelah Ramadhan, merupakan pelengkap dan penyempurna pahala dari puasa setahun penuh.
2. Puasa Syawal dan Sya'ban bagaikan solat sunnah rawatib, berfungsi sebagai penyempurna dari kekurangan, kerana pada hari Kiamat nanti perbuatan-perbuatan fardu akan disempurnakan (dilengkapi) dengan perbuatan-perbuatan sunnah. Sebagaimana keterangan yang datang dari Nabi sollallahu 'alaihi wasallam di berbagai riwayat. Kelazimannya puasa fardu yang dilakukan kaum muslimin memiliki kekurangan dan ketidak sempurnaan, maka hal itu membutuhkan sesuatu yang menutupi dan menyempurnakannya.
3. Membiasakan puasa setelah Ramadhan menandakan diterimanya puasa Ramadhan, kerana apabila Allah Ta'ala menerima amal seorang hamba, pasti Dia menolongnya dalam meningkatkan perbuatan baik setelahnya. Sebahagian orang bijak mengatakan: "Pahala dan amal kebaikan adalah kebaikan yang ada sesudahnya." Oleh kerana itu barangsiapa mengerjakan kebaikan kemudian melanjutkannya dengan kebaikan lain, maka hal itu merupakan tanda atas terkabulnya amal pertama.
Demikian pula sebaliknya, jika seseorang melakukan suatu kebaikan lalu diikuti dengan yang buruk maka hal itu merupakan tanda tertolaknya amal yang pertama.
4. Puasa Ramadhan -sebagaimana disebutkan - dapat mendatangkan maghfirah atas dosa-dosa masa lain. Orang yang berpuasa Ramadhan akan mendapatkan pahalanya pada hari Raya Aidul Fitri yang merupakan hari pembahagian hadiah, maka membiasakan puasa setelah Aidul Fitri merupakan bentuk rasa syukur atas nikmat ini. Dan sungguh tak ada nikmat yang lebih agung dari pengampunan dosa-dosa.
Oleh kerana itu termasuk sebahagian ungkapan rasa syukur seorang hamba atas pertolongan dan ampunan yang telah dianugerahkan kepadanya adalah dengan berpuasa setelah Ramadhan. Tetapi jika ia malah menggantinya dengan perbuatan maksiat maka ia termasuk kelompok orang yang membalas kenikmatan dengan kekufuran. Apabila ia berniat pada saat melakukan puasa untuk kembali melakukan maksiat lagi, maka puasanya tidak akan terkabul, ia bagaikan orang yang membangun sebuah bangunan megah lantas menghancurkannya kembali. Allah Ta'ala berfirman:
"Dan janganlah kamu seperti seorang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat menjadi cerai berai kembali "(An-Nahl: 92)
5. Dan di antara manfaat puasa enam hari bulan Syawal adalah amal-amal yang dikerjakan seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Tuhannya pada bulan Ramadhan tidak terputus dengan berlalunya bulan mulia ini, selama ia masih hidup.
Orang yang setelah Ramadhan berpuasa bagaikan orang yang cepat-cepat kembali dari pelariannya, yakni orang yang baru lari dari peperangan fi sabilillah lantas kembali lagi. Sebab tidak sedikit manusia yang berbahagia dengan berlalunya Ramadhan sebab mereka merasa berat, jenuh dan lama berpuasa Ramadhan.
Barangsiapa merasa demikian maka sulit baginya untuk bersegera kembali melaksanakan puasa, padahal orang yang bersegera kembali melaksanakan puasa setelah Aidul Fitri merupakan bukti kecintaannya terhadap ibadah puasa, ia tidak merasa bosan dan berat apalagi benci.
Seorang Ulama salaf ditanya tentang kaum yang bersungguh-sungguh dalam ibadahnya pada bulan Ramadhan tetapi jika Ramadhan berlalu mereka tidak bersungguh-sungguh lagi, beliau berkomentar:
"Seburuk-buruk kaum adalah yang tidak mengenal Allah secara benar kecuali di bulan Ramadhan saja, padahal orang soleh adalah yang beribadah dengan sungguh-sunggguh di sepanjang tahun."
Oleh kerana itu sebaiknya orang yang memiliki hutang puasa Ramadhan memulai membayarnya di bulan Syawal, kerana hal itu mempercepat proses pembebasan dirinya dari tanggungan hutangnya. Kemudian dilanjutkan dengan enam hari puasa Syawal, dengan demikian ia telah melakukan puasa Ramadhan dan mengikutinya dengan enam hari di bulan Syawal.
Ketahuilah, amal perbuatan seorang mukmin itu tidak ada batasnya hingga maut menjemputnya. Allah Ta'ala berfirman :
"Dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu yang diyakini (ajal) " (Al-Hijr: 99)
Dan perlu diingat pula bahwa solat-solat dan puasa sunnah serta sedekah yang dipergunakan seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala pada bulan Ramadhan adalah disyari'atkan sepanjang tahun, kerana hal itu mengandungi berbagai macam manfaat, di antaranya; ia sebagai pelengkap dari kekurangan yang terdapat pada fardu, merupakan salah satu faktor yang mendatangkan mahabbah (kecintaan) Allah kepada hamba-Nya, sebab terkabulnya doa, demikian pula sebagai sebab dihapusnya dosa dan dilipatgandakannya pahala kebaikan dan ditinggikannya kedudukan.
Hanya kepada Allah tempat memohon pertolongan, selawat dan salam semoga tercurahkan selalu ke haribaan Nabi, segenap keluarga dan sahabatnya.