Rasulullah SAW bersabda, "Kamu semua harus berpegang teguh kepada sunnahku (setelah Al Qur'an) dan sunnah khulafa' rasyidin yang mendapat petunjuk Allah sesudahku. Berpeganglah dengan sunnah itu dan peganglah ia kuat-kuat, serta jauhilah perkara yang diada-adakan (dalam agama), kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bid'ah, dan setiap bid'ah itu sesat." (HR. Abu Dawud dan Tirmidzi).

Thursday, January 26, 2012

TAMAK ITU ADA BAIKNYA

Hubungan kita dengan Tuhan adalah hubungan hamba dengan pencipta-Nya, hubungan hamba dengan pengawalnya dan hubungan hamba dengan pemberi balasan.Jadi apabila Tuhan menyebut kita adalah hamba-Nya, maka kita harus memahami dan kita mesti tunduk kepada semua perintah dan peraturannya.Malah kita juga yakin Tuhan adalah pengawal hidup kita.

Pernah suatu hari, Nabi Muhammad saw berkata kepada seorang anak muda, " Wahai anakku, aku akan mengajar kamu beberapa perkara : Peliharalah Tuhan nescaya dia pelihara kamu, peliharalah Tuhan nescaya apa-apa yang engkau minta dimakbulkannya.Apabila kamu meminta sesuatu, mintalah daripada Tuhan, apabila kamu meminta pertolongan maka mintalah daripada Tuhan."

Berdasarkan hadis ini jelas Nabi Muhammad mengarahkan kita supaya memelihara hukum, hak, perintah dan larangan Tuhan dengan cara mengerjakan perintahnya sesuai dengan ketetapan syariatnya.Misalnya, apabila kita menjaga sembahyang, yakni hukum ketetapannya, maka kita melaksanakan perintah Tuhan.Tuhan memelihara kita dan kita boleh jadi sihat, kuat dan berkat dalam hidup.Malah yang paling utama, Tuhan memelihara kita daripada menjadi bahan bakar api neraka.Subhanallah.

Malah, sebagai orang yang beriman, kita sentiasa meminta supaya Tuhan memelihara kita.Bukan sekadar kita menjaga perintah Tuhan, malah kita berdoa supaya Tuhan tetap memelihara kita.Sebagai contoh, kita baca doa yang diajarkan oleh Muhammad seprti yang dilaporkan oleh Ibnu Umar, " Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku meminta kepadamu sihat walafiat di dunia dan di akhirat. Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku meminta keadamu keampunan dan kesejahteraan buat agamaku dan duniaku, buat kaum keluargaku dan amankanlah kebimbanganku, peliharalah dari hadapanku dan belakangku, kanan dan kiriku dan dari sebelah atasku, aku berlindung pada kebesaranmu daripad dibinasakan dari bawahku." Amin..
Perhatikan itulah permintaan seorang hamba yang meletakkan Tuhan sebagai penjaga dan pemelihara.Bukan sekadar menjadi penjaga syariat Tuhan malah dia sentiasa berharap kepada Tuhan.Kerana itu, sbagai umat Islam, perlu benar kita yakin apabila kita menjaga syariat Tuhan maka Tuhan menjaga jiwa, diri dan rohani kita.

Apabila kita meminta daripada Tuhan, maka Dia adalah sebaik-baik pemberi segala permintaan.Muhammad berkata, " Bersikap tamaklah apabila mendapat manfaat bagi dirimu, dan mintalah pertolongan daripada Tuhan, dan janganlah engkau merasa lemah." Kita perlu bersikap tamak merebut manfaat agama, manakala Tuhan dijadikan tempat mengadu dan meminta pertolongan. Alhamdulilah..

Renung-renungkan...Semoga bermanfaat....Insya Allah..

Kisah Dua Keping Roti


Pada suatu waktu dahulu, ada seorang lelaki bangsa Israel yang amat kuat beribadat kepada Tuhan.Lelaki itu taat kepada semua perintah dan larangan Tuhan.Dia melakukan pelbagai ibadat selama enam puluh tahun di dalam biliknya tanpa keluar rumah.


Pada suatu hari, hujan turun dengan lebatnya di bumi yang kering itu.Segala tanaman dan tumbuh-tumbuhan hidup subur.Lelaki itu terasa ingin keluar bersiar-siar menikmati kecantikan alam.Selama ini dia hanya duduk beribadat di dalam bilik tidak keluar-keluar.
" Alangkah baiknya kalau aku bersiar-siar di luar sana.Aku dapat mengingati Tuhan sambil menikmati seluruh kecantikan alam," bisiknya di hati.


Lelaki itu pun keluar dari bilik ibadatnya hendak pergi brjalan-jalan dan bersiar-siar.Dia membawa dua keping roti sebagai bekal.Sebaik-baik dia berada di luar, dia begitu gembira dan takjub dengan keindahan alam ciptaan Tuhan.


Sedang dia menghayati rahsia dan keindahan alam selepas disirami hujan lbat, dia terserempak dengan sorang perempuan jelita.Selepas bertegur sapa dan berkenalan, lelaki dan perempuan jelita itu bertambah mesra.


Mereka berjalan beriringan sambil menikmati alam.Apabila lelaki dan perempuan yang tidak berkahwin duduk berdua-duaan, syaitan akan datang dan duduk di antara kedua-duanya.Begitulah kebiasaannya.


Selepas mata bertemu mata, hati mula berkata-kata.Mereka mula jatuh cinta.Akhirnya mereka berzina.Sesudah itu, lelaki itu berasa amat brsalah disebabkan selama ini dia amat takut melanggar larangan Tuhan, sehingga dia jatuh pitam kerana jiwanya amat tertekan oleh rasa kesal yang tidak terhingga.


Apabila tersedar, dia segera pergi ke sungai bagi membersihkan tubuhnya yang dirasakannya sangat kotor oleh dosa.Tiba-tiba, muncul sorang peminta sedekah yang kelaparan.Dia meminta makanan daripadanya.Lelaki itu berasa simpati lalu memberikan bekal yang dibawanya, iaitu dua keping roti.


Tidak lama selepas kejadian itu, lelaki itu jatuh sakit lalu mati.Maka malaikat menimbang pahala daripada segala perbuatan yang baik-baik selama 60 tahun dan dosa daripada segala perbuatannya berzina.Ternyata dosanya lebih berat daripada pahala ibadatnya selama 60 tahun.


Oleh sebab dosanya lebih berat maka ditimbangkan pahala daripada sedekah dua keping roti yang pernah diberikan kepada pengemis lapar dahulu.Berat timbangannya berubah.Kini pahalanya lebih berat daripada dosanya.Lelaki itu pun terselamat daripada api neraka dan dia dimasukkan ke syurga.Itulah berkat pahala daripada bersedekah dua keping roti kepada orang yang sangat lapar.


Subhanallah...
Sentiasalah muhasabah diri kita....

Cerita Teladan : Tikus dan Ahli Sihir


Ada satu cerita yang boleh menggambarkan betapa kuatnya peranan hati dalam kehidupan.


Seekor tikus telah bersahabat dengan seorang ahli sihir.Pada suatu hari, tikus mengadu yang ia sentiasa diburu oleh seekor kucing yang ada dalam rumah itu.Lalu ia memohon kepada ahli sihir untuk menukar dirinya menjadi seekor kucing yang besar.


Permintaannya ditunaikan.Tikus sekarang telah bertukar menjadi kucing besar dan ia memburu kucing di dalam rumah tersebut.Tikus yang bertukar jadi kucing itu kemudian keluar dari rumah.Di luar rumah, ia diburu pula oleh seekor anjing.Ia lari ketakutan dan terus menemui ahli sihir minta ditukarkan menjadi seekor anjing yang lebih besar.Ahli sihir pun menunaikan permintaannya.Tikus yang bertukar menjadi anjing besar itupun mengejar anjing tersebut.Tidak tidak lama kemudian, anjing yang besar itu dibaling dengan batu oleh seorang budak di kawasan itu.Tikus yang bertukar anjing itupun lari lintang - pukang.
" Tolong tukarkan saya menjadi budak yang lebih besar," pintanya kepada ahli sihir.
Tetapi kali ini ahli sihir menggeleng-gelengkan kepalanya sambil berkata, " Tidak ada gunanya aku menukar bentuk kamu kepada yang lain..."
" Sebab apa ? " Tikus itu bertanya.
" Sebab walaupun rupa paras kamu boleh diubah, tetapi hati kamu tetap hati tikus !"


Itulah peranan hati.Walaupun fizikal boleh berubah, tetapi jika hati tidak berubah, kita tidak boleh memanfaatkan apa sahaja. Renung-renungkan....

Cerita Teladan : Profesor Dengan Pengayuh Sampan


Pada suatu hari seorang profesor menyeberang sungai dengan sebuah sampan yang didayung oleh seorang pendayung sampan.Di tengah sungai, profesor bertanya, " Kamu pandai menulis dan membaca?"


" Tidak.Saya buta huruf." jawab pendayung sampan.


" Kalau begitu, kamu sudah hilang separuh daripada kehidupan kamu.Orang yang tidak pandai menulis dan membaca seolah-olah hilang separuh keupayaan untuk hidup dengan berjaya."


Sampan bergerak perlahan.Tak lama selepas itu, profesor bertanya lagi, " Kamu ada membuat simpanan wang di bank?"


" Tidak. Pendapatan saya hanya cukup-cukup makan," jawab pendayung sampan lagi.


" Kalau begitu, kamu hilang lagi separuh daripada kehdupan kamu.Mana mungkin orang yang tidak menyimpan wang boleh hidup dengan selesa pada masa tua nanti."


Sampan terus bergerak.Tiba-tiba sampan itu bocor.Air masuk dengan banyaknya dan sampan hampir tenggelam.Kali ini pendayung sampan bertanya kepada profesor." Tuan, adakah tuan pandai berenang?'


" Eh...eh...saya tidak tahu," jawab profesor dengan nada panik.


" Kalau begitu tuan akan kehilangan seluruh hidup tuan." :)


Moralnya : Tuhan tidak mencipta manusia bodoh.Tuhan hanya mencipta manusia dengan kebijaksanaan yang berbeza.


Sekadar renungan buat semua.

MUTIARA KATA


1. AL- Rabi' bin Khaitham rahimahullah sentiasa membawa pensel pada waktu pagi dan kertas untuk dicatat setiap patah kalamnya.Kemudian pada waktu petang beliau bermuhasabah dengannya.

2. Ahli hikmah berkata bahawa enam perkara menunjukkan kebodohan :

i) Marah tidak pada tempatnya seperti marah pada seseorang, binatang atau lain-lainnya.

ii) Bicara yang tidak berguna.Oleh kerana itu seharusnya seorang yang berakal tidak berkata kecuali jika penting dan berguna.

iii) Pemberian yang tidak pada tempatnya seperti boros harta atau memberi kepada orang yang tidak akan berguna baginya.

iv) Membuka rahsia kepada orang lain.

v) Percaya kepada semua orang.

vi) Tidak dapat membezakan antara kawan dan lawan.Oleh itu harus mengetahui siapa musuh dan siapa kawan.Kawan untuk ditaati dan musuh untuk diawasi.Musuh yang utama ialah syaitan, yang benar-benar harus dijauhinya.

3.Ja'far al-Sadiq r.a. berkata kepada anaknya : " Jangan kamu bersama dengan tiga golongan manusia ini, kerana Allah murka terhadap mereka ini, mereka ini adalah :

i) Jangan kamu bergaul dengan orang yang bermaksiat kepada Allah, kerana dia telah memutuskan tali antara dia dengan Allah.

ii) Jangan kamu bergaul dengan orang yang derhaka kepada ibu bapanya, kerana dia orang yang terlaknat.

iii) Dan jangan kamu bergaul dengan pendusta, kerana dia akan mendekatkan yang jauh bagimu dan menjauhkan yang dekat daripadamu.

4. Pujangga berkata :
i) Kamu boleh berbohong dengan semua orang dalam satu masa, tetapi kamu tidak boleh berbohong kepada semua orang sepanjang masa.

ii) Orang yang dituntun oleh agamanya, yang diluruskan oleh akalnya, yang dijaga oleh hartanya dan yang dihiasi oleh rasa malunya maka dia telah menghimpunkan semua nilai keutamaan dalam dirinya.

iii) Berbahagialah orang yang jika mendapat limpahan nikmat maka akan bersyukur, jika diuji maka akan bersabar, jika berbuat dosa maka akan beristighfar, jika marah maka akan segera mengawalnya dan jika berkuasa maka akan berlaku adil.


5. Auf bin Abdullah rahimahullah berkata bahawa golongan ahli kebaikan berpesan antara satu sama lain dengan tiga kalimah :

i) Siapa yang beramal untuk akhirat maka Allah s.w.t. akan mencukupkan urusan dunianya.

ii) Siapa yang memperbaiki hubungannya dengan Allah s.w.t. maka Allah akan memperbaiki hubungannya sesama manusia.

iii) Siapa yang memperbaiki hatinya maka Allah akan memperbaiki lahirnya.

6. Hamid al-'Affaf rahimahullah berkata : " Jika Allah s.w.t. mahu membinasakan seseorang, maka dihukum dengan tiga keadaan. Diberinya ilmu tanpa amal diberinya bersahabat dengan golongan soleh tetapi tidak mengikut jejak mereka serta tidak beradab terhadap mereka dan diberi jalan untuk berbuat taat tetapi tidak ikhlas."

7. Fudhail bin 'Iyad rahimahullah berkata : " Meninggalkan amal kerana manusia adalah riya'. Beramal kerana manusia adalah syirik. Ikhlas itu ialah Allah menyelamatkanmu daripada keduanya."

8. Makhul rahimahullah pula berkata : " Keikhlasan seseorang hamba memancarkan hikmah dari hati dan lidahnya."

9. Abu Sulaiman rahimahullah berkata : " Apabila seseorang hamba itu berjaya menegakkan keikhlasan dalam dirinya maka terhapuslah banyak was-was dan riya'."

Thursday, January 5, 2012

Muhasabah Menghindari Maksiat


Pesan buat Diriku yang sering lupa..
Salah satu cara untuk menghindari maksiat ialah dengan sentiasa bermuhasabah. 

Apa maksud muhasabah? 
Muhasabah ialah suatu tindakan yang penuh teliti terhadap segala tingkah laku agar tidak mendatangkan kemurkaan Allah. Jadi, setiap orang yang beriman wajib melakukan muhasabah atau memperbaiki diri dalam setiap tindakan agar sifat tercela tidak bersarang didalam hatinya.

Firman Allah dalah surah Al-Mujahadah ayat 6 yang bermaksud:

"Pada hari Allah membangkitkan mereka, lalu dikhabarkanNya apa-aoa yang telah mereka kerjakan.
Allah telah menghitungkannnya tetapi mereka melupakannya. Allah menjadi saksi atas setiap sesuatu"

Firman Allah dalam surah Al-Qasas Ayat 77 yang bermaksud :

"Dan janganlah kamu berbuat bencana di muka bumi ini. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang
yang berbuat bencana"

Muhasabah perlu disusuli dengan sifat membersihkan diri, jiwa dan pemikiran, menerima nasihat serta sentiasa memohon petunjuk dan hidayah di samping memohon keampunan Allah.

Kesimpulannya, muhasabah memainkan peranan penting dalam kehidupan orang yang beriman kerana ia dapat meningkatkan tahap keimanan dan ketakwaan kepada Allah dengan sentiasa memelihara diri daripada berbuat sebarang kemungkaran dan larangan Allah SWT.
 

RENUNGAN BERSAMA

SIKAP MENJAGA DIRI DAN MALU AKAN MENAMBAHKAN KECANTIKAN ORANG-ORANG YANG SUDAH CANTIK.

Apakah engkau pernah mendengar berita Ummu Salamah , salah seorang isteri Rasullullah saat ia mendengar suaminya bersabda:

“Barangsiapa yang menyeret kainnya kerana sombong, maka Allah tidak akan memandangnya pada hari qiamat nanti”.

Ummu Salamah bertanya:

“Bagaimanakah kaum wanita harus berbuat terhadap hujung kainnya?”

Rasulullah SAW menjawab: 

“Hendaklah mereka menjulurkannya sejengkal”.

Ummu Salamah bertanya lagi:

“Bagaimana jika terlihat mata kakinya?” 

Rasulullah SAW menjawab:

“Maka hendaklah mereka menjulurkannya sehasta dan tidak boleh lebih.”

Seorang masih hidup dengan baik selama mempunyai rasa malu sebagaimana batang kayu masih akan tetap kekal selama terbungkus oleh kulitnya...

Tidak, demi Allah, tiada kebaikan bagi hidup ini apabila rasa malu telah hilang darinya

BEKALAN:
Keselesaan tubuh kerana sedikit makan
Keselesaan jiwa kerana sedikit dosa
Keselesaan hati kerana sedikit keinginan
Keselesaan lisan kerana sedikit bicara.